TABIKA KEMAS FELDA ADELA
Program pendidikan awal kanak-kanak yang dianjurkan oleh KEMAS dikenali sebagai Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) merupakan program yang memberi peluang pendidikan awal bagi kanak-kanak yang berumur 4 hingga 6 tahun. Konsep Tabika KEMAS ialah ‘Belajar Melalui Bermain’ yang diselaraskan dengan sifat semulajadi kanak-kanak iaitu bermain, ingin tahu dan mencuba. Konsep tersebut kemudiannya diperluaskan kepada menguasai kemahiran 4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul). Tempoh pengajaran dan pembelajaran di Tabika KEMAS adalah 4jam bermula dari 7.30pagi – 11.30pagi atau 8.00pagi – 12.00tengahari.Kanak-kanak yang belajar di Tabika KEMAS akan belajar mengikut 6 Tunjang Pembelajaran yang dilaksanakan secara bersepadu. Antaranya ialah komunikasi, Kerohanian, Sikap dan Nilai, Kemanusiaan, Keterampilan diri, Perkembangan Fizikal dan Estetika serta Sains dan Teknologi. Lokasi Tabika KEMAS Felda Adela ialah bersebelahan dengan Sekolah Agama Felda Adela dengan jarak 1.5km dari NADI Felda Adela.
SEKOLAH KEBANGSAAN LKTP ADELA
Sekolah Kebangsaan (Felda) Adela atau nama ringkasnya SK (Felda) Adela, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di SK LKTP Adela. Pada 2009, Sekolah Kebangsaan (Felda) Adela memiliki 194 pelajar lelaki dan 171 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 365 orang. Ia mempunyai seramai 39 orang guru.
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN ADELA
Sekolah Menengah Kebangsaan Adela (SEMEKA), Kota Tinggi telah ditubuhkan dalam tahun 1982 sebagai cawangan kepada Sekolah Menengah Tanjung Datuk, Pengerang sehingga tahun 1983. Sekolah ini terletak kira-kira 65KM dari bandar Kota Tinggi dan merangkumi kawasan seluas 25 hektar. Ia turut dikelilingi 4 buah perkampungan felda iaitu Felda Adela, Felda Sening, Felda Tunggal dan Felda Kledang. Selama berada di bawah naungan sekolah induk (Sekolah Menengah Tanjung Datuk), sekolah ini ditadbir oleh seorang penyelia iaitu Encik Mohd Saat Bin Hj Abd Latif. Semenjak penubuhannya, SEMEKA telah dipimpin oleh 14 orang pengetua.
Sekolah ini merupakan salah sebuah sekolah gred A dibawah pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Lokasinya di tengah-tengah Felda Gugusan Adela merupakan simbol kebanggaan warga SEMEKA dan juga masyarakat setempat kerana telah berjaya menghasilkan ramai pelajar cemerlang dalam pelbagai bidang.
GIATMARA PENGERANG
Pusat Latihan Giatmara ini terletak di Dewan Belia Felda Sening. Antara kursus yang ditawarkan setakat ini adalah pembuat pakaian wanita tahap 1,2 dan penyejukbekuan dan penyamanan udara tahap 2. Antara syarat kemasukan ialah berumur 15 tahun ke atas. Manakala elaun yang diberikan kepada setiap pelajar adalah sebanyak RM200 setiap bulan.