Maklumat tersebut menerangkan sejarah peringkat pembangunan tanah Felda Adela yang telah dibangunkan sejak tahun 1973, yang terdiri daripada peringkat tanaman kelapa sawit sebagai sumber pendapatan utama penduduk sehingga kemasukan peneroka ke penempatan penduduk pada tahun 1979.
Setelah 43 tahun berlalu, banyak perubahan yang telah dilakukan oleh pihak pengurusan Felda Adela dan juga inisiatif yang dilakukan oleh penduduk Felda Adela sendiri bagi meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga. Pada masa kini, kebanyakan rumah- rumah peneroka yang dahulunya hanya rumah papan dengan kapasiti terhad, telah banyak berubah dengan pelbagai reka bentuk rumah yang lebih cantik dan indah.
Kini, aktiviti penduduk Felda Adela bukan hanya tertumpu pada hasil tanaman kelapa sawit sahaja, malah ada antara mereka yang telah berjaya membina empayar perniagaan masing-masing, contohnya seperti perniagaan Mini Market Bestari dan Bestari Foodcourt yang telah membuka beberapa cawangannya di Felda Adela. Tempat tinggal mereka yang dulu hanya sekadar pondok kecil untuk berlindung dari hujan dan panas telah bertukar menjadi sebuah ‘istana’ besar yang lebih selesa.